SHAH ALAM – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) komited mahu mencorakkan kesederhanaan hidup dan mengikis amalan pembaziran di kalangan masyarakat.
Inisiatif murni itu diterapkan menerusi Kempen Tak Nak Bazir yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rozita Ahmad berkata, pelaksanaan kempen selama sebulan itu antara program Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pihaknya sejak 23 Mac lalu.
Katanya, objektif utama Bernas bertujuan mendidik orang ramai supaya mengelak budaya membazir dan hidup secara bersederhana.
“Sebagai contoh, pembaziran banyak berlaku ketika Ramadan apabila makanan dibuang dalam kuantiti tinggi dan merugikan.
“Justeru, kita mahu perkara itu dielak sama sekali dengan mengamalkan kesederhanaan iaitu mengutamakan keperluan berbanding kemahuan,” katanya ketika ditemui pada program kempen itu di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini, petang tadi.
Kempen Tak Nak Bazir Bernas itu dilaksanakan dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd yang turut seiring mahu merealisasikan hasrat murni tersebut.
Tambah Rozita, pihaknya gembira program itu menerima sambutan positif dan bercadang meneruskannya pada masa akan datang.
Sementara itu, kakitangan swasta, Mardiana Mansor, 42, berkata kempen berkenaan turut mendidik rakyat supaya mengamalkan hidup berjimat cermat termasuk menjelang sambutan Aidilfitri.
“Bagi Syawal kali ini, saya hanya membeli pakaian untuk tiga orang anak dan saya hanya menggunakan baju raya tahun terdahulu yang masih cantik dan elok dipakai,” katanya.
Bagi jurutera, Farah Farzana Zulhamri, 26, dia mula membeli keperluan raya secara berperingkat sejak awal tahun ini.
“Saya hanya berbelanja mengikut keperluan dan tidak membeli barangan secara sekali gus.
“Langkah membeli secara bulanan itu antara tips terbaik bagi memastikan kita mengetahui apa yang perlu atau sebaliknya,” katanya. – KOSMO!ONLINE