BEIJING – Seorang ahli akrobatik di China maut akibat terjatuh dari udara semasa membuat persembahan, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Wanita bernama Sun itu terjatuh semasa membuat persembahan trapez di bandar Suzhou, wilayah Anhui, Sabtu lalu.
Video dikongsi secara online memaparkan mangsa jatuh ke atas pentas selepas kesilapan semasa aksi rutin bersama pasangan akrobat yang juga suaminya.
Sun jatuh selepas suaminya gagal menangkapnya menggunakan kaki semasa aksi tersebut. Dia gagal diselamatkan selepas dibawa ke hospital.
Laman web The Paper melaporkan bahawa Sun meninggalkan dua anak. Menurut pihak berkuasa, kejadian itu masih disiasat.
Menurut The Paper, Sun dan suaminya, Zhang sudah bekerjasama selama bertahun-tahun dan sering membuat persembahan tanpa memakai tali pinggang keselamatan ‘untuk kelihatan hebat’.
Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan tempatan memaklumkan bahawa kumpulan itu tidak mendapat kelulusan mencukupi untuk melaksanakan aksi tersebut dan mereka ‘akan diuruskan sewajarnya’.
The Paper berkongsi video pasangan itu melakukan aksi akrobatik di udara dan hanya bergantung kepada kekuatan diri masing-masing semasa persembahan.
Keputusan tidak menggunakan tali pinggang keselamatan dibuat kerana pekerja industri tersebut memperoleh lebih banyak wang apabila melakukan aksi lebih berisiko. – Agensi