fbpx

2,600 ayam percuma licin dalam sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur panjang untuk menerima sumbangan dua ekor ayam bulat di rumah Saleh di Kampung Sungai Udang, Klang

KLANG – Sebanyak 2,600 ayam bulat percuma habis diagihkan dalam tempoh sejam kepada 1,300 penduduk Kampung Sungai Udang di sini, bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program bermula pukul 9 pagi itu merupakam inisiatif ahli perniagaan, Saleh Sukiman, 65, bersama ahli keluarga dan rakannya dalam mengurangkan kos hidup bagi kariah yang memerlukan.

Menurut Saleh, program tahunan tersebut dilakukan sejak 20 tahun lalu, namun terhenti sewaktu pandemik Covid-19.

Katanya, dia mahu berkongsi rezeki selain mengurangkan beban kepada penduduk berikutan kenaikan harga barangan keperluan.

“Setiap keluarga menerima dua ekor ayam dan kita berharap sumbangan ini dapat menceriakan mereka yang memerlukan dalam menyambut lebaran beberapa hari sahaja lagi.

“Alhamdulillah, tahun ini kami diberikan peluang untuk menyambung kembali kerja kebajikan yang tertangguh sejak lebih dua tahun disebabkan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Saleh (kiri) menyampaikan sumbangan ayam mentah kepada penduduk Kampung Sungai Udang hari ini.

Dalam pada itu, seorang penerima, Azhar Rani, 53, menzahirkan rasa syukur dengan sumbangan tersebut yang dianggap begitu bermakna dalam menampung keperluan juadah pada Aidilfitri nanti.

“Berbaloi beratur untuk mendapatkan ayam hari ini. Semoga penderma diberikan pahala berlipat berganda di bulan Ramadan ini.

“Sudah tentunya, bantuan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga. Masih ada lagi insan yang prihatin dengan golongan yang kurang berkemampuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI