PETALING JAYA – Kurang seminggu sebelum umat Islam menyambut hari raya, pelakon dan pengacara terkenal, Zulin Aziz mengejutkan ramai apabila memberi bayangan seolah-olah rumah tangga dibina dengan suami, Farhan Norzaini kini menuju perceraian.
Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, membuat pendedahan tentang status rumah tangga yang sedang retak menanti belah tersebut menerusi satu hantaran terbaharu dalam Instagram.
“Mungkin sampai sini sahaja kisah kami. Tiada persefahaman.
“Semoga yang baik-baik untuk masa akan datang. Insya-Allah, masa merawat semuanya. Terima kasih untuk segala-galanya. Jaga diri (beserta emoji patah hati),” coretnya.
Kaspyen tersebut diselitkan bersama sekeping gambar perkahwinannya bersama seorang lelaki yang kelihatan seperti suaminya sekarang dengan tertera perkataan ‘project2pi’.
Menjengah ruangan komen, ramai yang sepertinya tidak mempercayai apa yang dikongsikan bekas penyampai radio Suria FM itu.
“Marketing sampai macam ini sekali. Lah dah kenapa pula dekat nak raya banyak masalah rumah tangga saja,” demikian antara komen ditinggalkan peminat.
Terdahulu pada 20 Februari 2022, Zulin sah menjadi isteri kepada Farhan Norzaini yang merupakan rakan kongsi perniagaannya. – KOSMO! ONLINE