fbpx

Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera salur RM200,000 kepada warga ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nizar (dua kanan) ketika menyalurkan bantuan kepada Abdullah pada Program Sinar Aidilfitri di Pangsapuri Kenanga, Gombak Permai, hari ini.

GOMBAK – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyalurkan sebanyak RM200,000 bagi Program Sinar Aidilfitri kepada 2,000 penerima melibatkan anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd. Nizar Sudin berkata, jenis bantuan yang disalurkan adalah berupa bantuan tunai ‘one-off’, bantuan bakul makanan, bantuan peralatan kesihatan, bantuan bencana alam, bantuan anak yatim dan bantuan sara hidup.

Katanya, kriteria pemilihan penerima sumbangan bagi program berkenaan dipilih bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk membantu golongan memerlukan antaranya mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan golongan miskin, asnaf serta daif.

“Program yang kita buat ini adalah kita turun ke bawah, program yang kita laksanakan ini untuk menyantuni mereka, inisiatif ini adalah bagi kita dapat rasa denyut nadi anggota dan veteran yang berada di seluruh negara.

“Ini merupakan peluang kita untuk melihat dan mendengar selain memberi penambahbaikan kepada inisiatif kebajikan YLTAT di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bertemu veteran ATM Abdullah Ramli, 63, di kediamannya di Gombak Permai di sini hari ini.

Turut menerima bantuan tersebut, Hamsiyah Tepap, 75, balu kepada seorang veteran tentera yang ketika ini sedang menghidap penyakit saraf.

Katanya, program itu pada tahun ini adalah lebih bersasar iaitu maklumat diberikan secara terus oleh JHEV ATM agar tidak berlaku pertindihan atau terdapat pihak yang tidak memperoleh sumbangan dibawah program berkenaan.

“Saya berpendapat dalam soal untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan ini kita bergerak sekali untuk kita sama-sama menyalurkan bantuan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdullah berkata, sebelum ini dia tidak pernah menerima bantuan dan amat berterima kasih atas inisiatif yang dilakukan oleh YLTAT.

“Apa yang diberikan ini sedikit sebanyak memberi senyuman kepada saya terutama ketika ingin menyambut raya Aidilfitri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI