PETALING JAYA – Bekas isteri kepada pempengaruh media sosial terkenal, View Chin, Shermine Hau Ah Moi dipercayai telah membuat laporan polis dan melantik peguam.
Tindakan tersebut dibuat dipercayai bagi melindungi dirinya daripada sebarang ancaman bekas suaminya dan perkara itu telah dikongsi di laman InstaStorynya hari ini.
“Done report police and already got lawyer for justice (Selesai buat laporan polis dan saya sudah dapatkan peguam untuk menuntut keadilan).
“I’m very confident (saya begitu yakin),” tulis Shermine.
Bagaimanapun, difahamkan status tersebut kemudiannya ‘hilang’ di InstaStorynya tanpa mengetahui sama ada ia dipadam atau sebaliknya.
Krisis rumah tangga pasangan View Chin dan Shermine bergolak selepas wanita itu mendedahkan kecurangan bekas suaminya di media sosial sejak kelmarin.
Berdasarkan perkongsian Shermine, dia mendakwa View Chin curang dengan seorang pekerja dikenali sebagai Mira semasa dia dalam pantang.
Pada masa sama, wanita itu juga turut mendedahkan dia dikasari oleh suaminya semenjak perniagaan mereka tular di TikTok dan kerap membuat siaran langsung bagi mempromosikan produk mereka.
Kata Shermine lagi, walaupun perbuatan telah terbongkar, suaminya telah mengugut wanita itu dengan pelbagai ancaman termasuk menyebarkan video hubungan intim mereka serta akan mengambil hak penjagaan anak-anak. – KOSMO! ONLINE