WASHINGTON – Seorang pesohor media sosial berbadan gempal di Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen bagi menggesa syarikat-syarikat penerbangan agar menyediakan kemudahan lebih selesa kepada penumpang bersaiz badan sepertinya, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Jae’lynn Chaney dari Washington memulakan petisyen di laman web pungutan suara, Chenge.org bertajuk ‘Permintaan untuk FAA bagi Melindungi Pelanggan Berbadan Besar’, di mana dia mendesak perjalanan udara menjadi lebih selesa untuk setiap orang tanpa mengira saiz badan.
Setakat ini, petisyen tersebut telah menerima lebih 4,000 tanda tangan. Chaney turut menamakan Jabatan Pengangkutan AS (USDT), Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) dan Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) sebagai pihak berkuasa yang berkaitan.
Menurut Chaney, dia dan pasangannya selama ini menghadapi diskriminasi dan sering menerima pandangan yang tidak selesa daripada penumpang lain ketika menaiki pesawat.
Tambah wanita itu, ada antara perjalanannya di mana dia terpaksa duduk pada satu kerusi tanpa boleh mengerakkan tangannya. Ia menyebabkan Chaney mengalami lebam-lebam.
“Terpaksa duduk di atas satu kerusi akan menyebabkan masalah seperti sakit-sakit badan selain kami berdepan situasi menerima layanan buruk daripada penumpang lain.
“Ia termasuk komen-komen yang penuh kebencian, pandangan tidak selesa serta keengganan mereka untuk duduk di sebelah kami.
“Layanan buruk ke atas penumpang bersaiz badan besar ini amat tidak boleh diterima dan ia mengetengahkan keperluan mendesak untuk dasar-dasar lebih baik,” kata Chaney.
Antara yang dituntut dalam petisyen tersebut adalah gesaan kepada FAA agar syarikat penerbangan dapat menyediakan lebih daripada satu tempat duduk kepada golongan seperti itu, bergantung kepada saiz badan mereka. Ia selain itu menuntut ruang lebih besar disediakan kepada mereka. – Agensi