LONDON – Penonton Britain’s Got Talent menyelar program pencarian bakat televisyen popular itu selepas seorang peserta membakar dirinya di atas pentas ketika cuba menyelesaikan kiub rubik dalam episod baharu yang disiarkan semalam, lapor portal berita MailOnline.
Pengguna laman Twitter meluahkan rasa marah mereka dan menyifatkan aksi tersebut ‘amat berbahaya’ serta tidak wajar dilakukan dalam rancangan televisyen yang ditonton oleh seisi keluarga.
Dalam aksi tersebut, pelagak ngeri, Thomas Vu dijilat api yang marak dan dalam masa sama, dia cuba menyelesaikan teka-teki kiub rubik tersebut. Vu memakai pakaian dilitupi gel kalis api untuk aksi berbahaya itu.
Meskipun mendapat tepukan gemuruh daripada panel juri, penonton di rumah mempersoalkan aksi Vu.
Aksinya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penonton di rumah dengan ramai meluahkan rasal kesal mereka di laman sosial.
“Apa yang telah berlaku kepada BGT (Britain’s Got Talent) kerana membiarkan seseorang terbakar semata-mata demi hiburan,” kata seorang netizen.
“Maaf, tetapi memaparkan aksi seorang lelaki membakar dirinya dalam rancangan kekeluargaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima meskipun ada kenyataan bertulis ‘Jangan tiru aksi ini di rumah’,” kata pengguna media sosial lain. – Agensi