fbpx

Pemandu lori tangki pandu cuai didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengiringi Yuaraj (kiri) bagi menghadapi pertuduhan memandu cuai di Mahkamah Majistret Slim River di Slim River hari ini.

TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori tangki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu cuai dan tanpa pertimbangan munasabah hingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa dua remaja perempuan bulan lalu.

Tertuduh, P. Yuaraj, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed.

Khairun Neesha turut memerintahkan Yuaraj dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu lori tangki jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan itu tanpa pertimbangan munasabah terhadap orang lain dengan cara membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara pada pukul 10.58 malam, 29 Mac 2023.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan selain butiran kesalahan wajib dinyatakan dalam lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt Abdullah. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Dalam kejadian pada 29 Mac lalu, Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan sepupunya, Nur Nabila Rosdi, 19, maut selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI