NAIROBI – Taktik seorang lelaki di Kenya yang menyamar sebagai perempuan untuk memenangi sebuah kejohanan terbuka catur wanita akhirnya terbongkar apabila penipuannya itu berjaya dihidu pihak penganjur, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Dengan memakai burka dan kaca mata, Stanley Omondi, 25, mendaftarkan dirinya sebagai Millicent Awour dalam kejohanan Terbuka Kenya yang berlangsung di bandar ibu negara Kenya, Nairobi minggu lepas.
Presiden Catur Kenya, Bernard Wanjala berkata, pada awalnya, pihaknya tidak mempunyai sebarang syak wasangka terhadap Omondi kerana memakai burka adalah sesuatu yang normal.
“Namun, sepanjang perlawanan berlangsung, kami mula berasa curiga apabila dia menewaskan ramai pemain handal. Ia agak aneh kerana seorang peserta baharu berjaya menumpaskan pemain handalan yang dikenali ramai.
“Selain itu, Omondi juga memakai kasut lelaki selain dia langsung tidak bercakap. Kebiasaannya, pemain akan bercakap dengan lawannya kerana bermain catur bukannya satu ‘peperangan’ sebaliknya melibatkan persahabatan,” kata Wanjala.
Tambahnya, selepas Omondi memenangi satu pusingan yang sukar, pihak penganjur mula memanggil dan menyoal siasat lelaki itu.
“Dia mengaku dia seorang lelaki. Dia juga menyesali atas perbuatannya serta memohon maaf.
“Menurutnya, tindakan itu dilakukan kerana dia mempunyai masalah kewangan dan berharap kemenangan itu dapat membantunya menyelesaikan masalah tersebut,” jelas Wajala.
Omondi kemudian menulis surat permohonan maaf serta mengaku bersedia untuk menerima sebarang akibat daripada perbuataannya.
Wanjala berkata, Omondi mungkin akan dilarang menyertai mana-mana pertandingan catur selama beberapa tahun, namun bukan selama-lamanya. – Agensi