JERANTUT – Penduduk di sekitar Kampung Bukit Rang di sini yang sedang bersiap untuk berbuka puasa gempar selepas Masjid Lama kampung berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran semalam.
Seorang penduduk Kampung Bukit Rang, Mohd Rodhi Sood,50, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 6.57 petang dia baru pulang daripada membeli juadah sebelum terdengar jirannya menjerit memaklumkan masjid terbakar.
“Saya keluar dan melihat api yang sedang marak dengan pantas namun penduduk di sini tidak mampu berbuat apa-apa kerana kebakaran berlaku pantas dalam cuaca panas.
“Mujurlah anggota bomba yang tiba bertindak pantas dan cekap mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan kediaman berdekatan,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Anuar Ahmad,45 berkata, dia baru melalui laluan berdekatan masjid selepas membeli juadah berbuka puasa dan berpatah balik apabila rakannya memberitahu masjid lama terbakar.
Katanya, kejadian itu menggemparkan penduduk yang menunggu untuk berbuka puasa kerana pertama kali melihat api marak begitu cepat sehingga memusnahkan masjid berkenaan.
“Masjid lama ini sebelum ini dijadikan pusat tahfiz, tetapi sudah tidak beroperasi lagi selepas pelajar berkenaan berpindah ke tempat baharu dan selamat.
“Kami tertanya-tertanya macam mana masjid ini boleh terbakar, mungkin kerana litar pintas atau pelbagai kemungkinan lain,”katanya.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian kebakaran berkenaan menyebabkan 80 peratus masjid berkenaan musnah.
Katanya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu dan punca kejadian masih disiasat.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan bantuan air tangki jentera bomba dan kebakaran ini tidak melibatkan mangsa,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.