fbpx

Majikan diarah langsai gaji tertunggak 600 pekerja berjumlah RM3.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sekumpulan pekerja binaan di KKIP memukul majikan mereka ekoran tidak puas hati berkenaan isu kelewatan gaji.

KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud mengarahkan kontraktor pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang tular baru-baru ini agar melangsaikan bayaran gaji kira-kira 600 pekerja yang tertunggak bulan lalu dengan jumlah keseluruhan sekitar RM3.8 juta.

Mustapha memaklumkan selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah semalam, syarikat berkenaan bersetuju bagi membuat pembayaran pada hari ini dan esok.

“Arahan terbabit dikeluarkan selepas berlakunya kes pergaduhan di antara pekerja dengan majikan warga asing dari Korea kelmarin. Ia berpunca daripada kelewatan pembayaran gaji bagi bulan lalu.

“Mengikut sumber majikan serta pekerja yang dimediasi oleh Pengarah JTK Sabah sendiri, isunya adalah kelewatan pembayaran gaji bulan Mac.

“Mengikut perjanjian, gaji sepatutnya perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan dan bagi pekerja belum dibayar sehingga kini.

“Oleh itu, akibat rasa ketidakpuasan hati, berlaku pergaduhan hingga ada pekerja yang memukul majikan mereka yang berbangsa Korea.

“Berikutan itu Pengarah JTK Sabah bersama Ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan.

“Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji yang tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Iftar Bersama Penduduk Kampung Darau, Manggatal malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan JTK bakal memastikan proses pembayaran gaji dilakukan seperti dijanjikan majikan selain bersedia menerima sebarang aduan lain daripada pekerja berhubung perkara sama.

“Pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan hari ini dan esok bagi memantau dan mendengar kemungkinan ada lagi aduan pekerja lain,” katanya turut memberi amaran tindakan akan diambil ke atas majikan sekiranya lewat membayar gaji pekerja selaras dengan peruntukan dalam Ordinan Buruh Sabah. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI