fbpx

Luahan pembaca: Apa masalah jika sesi sekolah mula Mac?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Permulaan sesi sekolah bermula Mac mula dilaksanakan pada 2021. FOTO FARIZ RUSADIO

SAUDARA PENGARANG,

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan menyatakan secara prinsipnya kementerian bersetuju untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari.

Ramai yang menyambut baik perkara itu, ada juga yang tertanya-tanya apa masalahnya jika sesi persekolahan bermula pada Mac atau adakah ia hanya kenyataan bersifat populis daripada pihak Menteri?

Jika ditinjau, boleh dikatakan tidak ada sebab kukuh permulaan sesi sekolah harus dikembalikan ke awal tahun. Yang ada hanya keluh kesah segelintir mereka mengenai kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan takwim baharu.

Ada ibu bapa yang menggesa perubahan ini kerana mereka terkesan dengan pertembungan pembukaan sekolah, Ramadan dan Syawal kerana perlu mengeluarkan belanja banyak.

Namun, kita sedia maklum tarikh raya dan puasa berubah setiap tahun. Ada pula yang menyatakan kesukaran untuk menjelaskan tahun persekolahan. Misalnya anak Tahun 4 pada Januari dan Oktober tahun sama berada di Tahun 5.

Di samping itu, ada yang merungut kerana sukar untuk merancang cuti sekolah bersama anak-anak terutama pada hujung tahun.

Tetapi realitinya, sesi sekolah 2022 misalnya, ada cuti sekolah selama tiga minggu bermula 9 Disember. Adakah ini cuma sebuah manifestasi keengganan sebahagian kita untuk berubah? Terlalu sukarkah kita keluar dari zon selesa.

Sesuatu perubahan memang memerlukan masa. Harus diingat, perubahan ini baru memasuki tahun ketiga. Dikhuatiri, gesaan untuk kembalikan sesi sekolah ke awal tahun hanya mengajar anak-anak untuk tidak keluar mendepani cabaran, beradaptasi dan merangkul perubahan.

Kita sebaliknya menegaskan mereka mesti menuntut dunia untuk berubah mengikut rentak mereka. Hal ini tentu sahaja tidak benar dan sebagai orang dewasa,

Kita semua tahu bukan itu caranya dunia ini berfungsi. Dunia tidak berpaksi kepada apa yang membuatkan kita selesa atau tidak. Tarikh permulaan sesi persekolahan sebenarnya tidak memberi makna apa-apa.

Ia hanya sebuah simbol permulaan sesuatu tahun persekolahan yang baharu. Yang lebih bermakna adalah bagaimana kita dapat menyediakan anak-anak bagi menghadapi cabaran dunia masa depan dengan ilmu pengetahuan secara mandiri, agar mereka lebih berani dan yakin untuk mengubah dunia, tanpa mengharapkan dunia berubah untuk mereka.

Mohamad Syafiq Ya Shak
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI