LABUAN – Polis Labuan semalam menahan lelaki yang juga pemandu tular ekoran menumbuk muka seorang pemandu lain beberapa kali sewaktu berada di jalan raya dekat lampu isyarat Jalan Patau-Patau pada 12 April lalu.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan sejurus kejadian dia ditumbuk oleh suspek berkenaan.
Mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, suspek dipercayai bertindak menumbuk muka mangsa beberapa kali kerana marah berkaitan dengan penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.
“Akibat kejadian itu, mangsa luka di bahagian dahi, pendarahan pada hidung dan sakit pada bahagian mata. Kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan.
“Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, polis berjaya menangkap suspek pada pukul 3.45 petang semalam untuk siasatan lanjut.- KOSMO! ONLINE.