fbpx

Ibu tak mahu saya kahwin dulu, takut rindu – Tuah Adzmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN faktor dirinya merupakan anak tunggal, kekangan kewangan yang belum stabil juga menyebabkan Tuah tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga.

PETALING JAYA – Penyanyi Tuah Adzmi memberitahu ibunya tidak mahu dia berkahwin dalam masa terdekat kerana takut akan merinduinya apabila sudah mendirikan rumah tangga suatu hari nanti.

Ujar Adzmi atau nama lengkapnya Arumi Nafiz Mohd. Adzmi ketika ditemui Kosmo! Online berkata, buat masa ini dia tidak merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam masa terdekat walaupun mengakui sedang mengenali hati budi seseorang.

“Buat masa sekarang saya tidak terfikir untuk berkahwin walaupun sedang berkawan dan mengenali hati budi seseorang.

“Lagipun ibu sendiri kata, kalau boleh dia tidak mahu saya berkahwin dulu sebab takut rindu. Ibu tidak ada siapa-siapa selain saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar penyanyi berusia 25 tahun itu, sejak kematian bapanya ketika dia berumur enam tahun, kehidupan ibunya hanya ditemani Tuah yang merupakan anak tunggal.

“Ibu tidak ada suami. Anak lain pun tiada. Saya anak tunggal. Jadi ibu belum bersedia untuk lepaskan saya,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Dusta Cinta itu tidak menolak seandainya sudah suratan takdir dia bertemu jodoh suatu hari nanti apabila akan mendirikan rumah tangga bersama wanita yang menjadi pilihan hatinya.

“Buat masa sekarang saya anggap belum ada jodoh lagi. Tapi kalau Tuhan kata jodoh saya cepat, maka cepatlah saya berkahwin. Kalau lambat, maka lambatlah.

“Untuk ke fasa seterusnya (berkahwin) saya memerlukan masa lagi. Apa-apa pun tentang jodoh, memang saya kena bincang dahulu dengan ibu,” katanya.

Pada masa sama, Tuah memberitahu faktor ekonomi juga memberi kekangan untuk dia memikirkan tentang jodoh buat masa ini kerana mengakui kedudukan kewangannya masih belum stabil.

“Dari segi ekonomi pun saya belum stabil lagi sepenuhnya. Belum lagi jika saya dikurniakan cahaya mata.

“Jadi memang saya belum bersedia. Sekarang masa untuk saya kumpul duit sebelum mendirikan rumah tangga,” jelas Tuah sewaktu ditemui di majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman FMC Music baru-baru ini.

Menyentuh tentang persiapan raya, Tuah berkata, sambutan lebaran pada tahun ini sama sahaja seperti tahun-tahun terdahulu apabila akan pulang beraya di kampung halaman ibunya di Perak.

“Tahun ini insya-Allah saya akan pulang beraya di perak. Tahun lepas tak balik sebab raya pun mengejut. Jadi tahun ini saya dan ibu akan pulang ke sana (Perak),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI