PETALING JAYA – Orang ramai bakal menyaksikan kemuncak fenomena Hujan Meteor Lyrids yang dijangka berlaku di langit Kuala Lumpur pada 23 April ini pukul 3 pagi waktu Malaysia.
Menerusi hantaran Agensi Angka Malaysia (MYSA) pada Facebook, kenampakan Hujan Meteor Lyrids itu adalah baik kerana tiada gangguan cahaya bulan semasa kemuncak berlaku.
“Fenomena angkasa ini dijangka dilihat mulai 15 hingga 19 April, manakala kemuncak Hujan Meteor Lyrids diramalkan pada malam 22 April hingga awal pagi 23 April dengan purata 18 meteor perjam,” kata hantaran tersebut.
Dalam pada itu, MYSA menjelaskan, Hujan Meteor Lyrids terkenal dengan kelajuannya dan kelihatan terang walaupun tidak sepantas atau sebanyak Hujan Meteor Perseids.
“Kenampakan Hujan Meteor Lyrids sebanyak 100 meteor perjam pernah berlaku pada tahun 1803 di Virginia, 1922 di Greece, 1945 di Jepun dan 1982 di Amerika Syarikat. Secara umumnya, sekitar 10 hingga 20 meteor perjam boleh dilihat semasa kemuncak ia berlaku.
“Hujan Meteor Lyrids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Lyra. Bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
“Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit Komet C/1861 G1 atau lebih dikenali sebagai Komet Thatcher,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MYSA menjelaskan, Komet Thatcher dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan orbitnya dengan lali terakhir ia mencapai jarak yang paling dekat dengan matahari pada tahun 1861 dan dijangka dapat dilihat dari bumi semula pada tahun 2276.
“Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.
“Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE