PETALING JAYA – Susulan pendedahan disihir sejak suaminya meninggal dunia, balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd. Ali membawa anak tunggal mereka berubat di puncak Gunung Jerai, Kedah.
Katanya, usaha memandikan anak lelakinya, Hamzah atau nama sebenarnya Syed Uthman Hamzah, 4, di Telaga Tok Sheikh antara ikhtiar bagi merawat penyakit misteri yang dialami permata hatinya itu.
“Ibu bawa Hamzah mandi di Gunung Jerai. Semoga anak ibu kembali sihat seperti sediakala. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan kita semua,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok.
Enggan memikirkan persepsi negatif individu lain, ibu tunggal itu menegaskan akan terus mencari penawar demi memulihkan kesihatan anaknya.
“Ibu akan buat terbaik demi anak ibu, biarlah orang nak kata apa, hanya Allah mengetahui segala-galanya sebab mereka tak pernah rasa apa yang kita rasa,” katanya.
Pada masa sama, wanita yang mesra disapa Hidayah itu turut menyatakan punya alasan tersendiri tidak lagi mendedahkan Hamzah dalam media sosial.
“Itu sebab ibu tak letak gambar atau video anak ibu. Setiap kali ‘post’, malam mesti terjadi sesuatu,” luahnya lagi.
Menerusi hantaran sama, dia yang ditemani keluarga mengambil kesempatan menunaikan solat di kawasan tersebut meminta pertolongan Allah agar anaknya sembuh daripada sebarang gangguan.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan penyakit yang dialami anak kecil itu segera sembuh selain berharap urusan berubat mereka dipermudahkan.
“Kesian anak yatim ini, janganlah dianiaya. Semoga Hamzah cepat sembuh,” kata seorang pengguna TikTok.
Terdahulu, abang kepada Hidayah, Mohd. Azmier tampil berkongsi info dalam Facebook mengenai anak saudaranya yang didakwa terkena sihir sejak bayi.
Keadaan itu mengakibatkan Hamzah berdepan masalah saraf sehingga tidak mampu memegang sudu mahupun memegang pensel. – KOSMO! ONLINE