PUTRAJAYA – Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) bukan sahaja mencatat sejarah sebagai festival Ramadan terbesar di sini malah berjaya menarik hampir 600,000 pengunjung sejak ia berlangsung 22 Mac lalu.
Penganjur yang juga Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd, Shahrul Musa berkata, festival tersebut mendapat sambutan menggalakkan khususnya pada hujung minggu dan ada yang datang dari luar Putrajaya untuk membeli-belah.
“Sasaran awal kami adalah seramai 500,000 pengunjung sahaja tetapi semakin ramai pengunjung yang datang di minggu terakhir Ramadan ini bagi mendapatkan pelbagai kelengkapan hari raya melalui empat komponen utama dalam festival tersebut.
“Ia terdiri daripada Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terlibat ialah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Lebih menarik, festival tersebut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal berharga RM10,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100 dalam satu resit.
Shahrul menerangkan, FRP 2023 telah melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menurut beliau, waktu operasi baharu itu bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan hari raya pada saat-saat akhir.
“Sebelum ini, waktu operasi festival yang bermula sehari sebelum Ramadan itu dibuka pukul 12.00 tengahari hingga pukul 12 tengah malam yang mana lanjutan operasi itu memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.
“Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi happy hour,” jelasnya.
Turut terlibat dalam festival berkenaan adalah 48 usahawan dari Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dan 14 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Sementara itu, ketika FRP 2023 berlangsung baru-baru ini, dua vendor iaitu Zareth Zehra dan Elrah telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi sumbangan berupa baju Melayu dan baju kurung kepada anak-anak bertuah dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi
Seramai 20 anak yatim dari rumah tersebut turut menerima duit raya daripada wakil vendor berkenaan pada majlis tersebut. -KOSMO!ONLINE