fbpx

Balik raya tidur hotel, usaha jaga maruah aurat wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan tidak pukul rata dengan memerli mereka yang pulang beraya, tetapi tinggal di hotel atau inap desa sebagai ‘kekwat’ tidak mahu bermalam di rumah kampung.

Sebaliknya, mereka bertindak demikian kerana mengambil berat soal aurat dan maruah isteri serta anak-anak selain menjaga ikhtilat iaitu percampuran antara golongan lelaki dan wanita.

Menerusi nasihat agamawan, Dr. Kamilin Jamilin pada video di TikTok memberitahu, dalam hal ehwal agama, ia seharusnya dijaga mengatasi adat dan tradisi diamalkan sesuatu masyarakat.

“Nak balik raya kampung, nak tidur di rumah kampung atau nak tidur ‘homestay’ atau hotel? Bila raya ada yang perli-perli, orang sekarang ‘kekwat’ nak tidur luar saja (inap desa atau hotel). Orang dulu boleh saja meriah tidur ramai-ramai di ruang tengah, walaupun keluarga besar.

“Kalau rumah itu kecil berbanding kapasiti ahli keluarga yang ramai, sampai lelaki dan perempuan tidur dekat ruang tengah tak cukup bilik, memang kita kena fikir. Soal agama kita kena jaga mengatasi adat tradisi, lagi-lagi bila ada anak-anak lelaki remaja tidur sekali.

“Yang perempuan bila masuk tandas ada yang ala kadar tak jaga aurat, ibu menyusu mungkin tak sedar tentang auratnya bila tertidur semasa menyusu anak. Masa tidur tengah malam kalau terbangun, mudah ternampak aurat perempuan atau posisi tidurnya yang mana nak sedar kan,” katanya pada video yang dimuat naik kelmarin.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan anak-anak lelaki yang mempunyai pelbagai imaginasi lebih-lebih dengan suasana sekarang mereka terdedah pelbagai maklumat di hujung jari.

“Budak lelaki ini jangan main-main imaginasinya, ternampak rambut sepupu perempuan basah-basah baru keluar tandas, itu pun boleh macam-macam terbayang. Ramai yang cerita mereka terdedah dengan pornografi. Bermula macam inilah, mula daripada mengintip, menghendap kemudian jadi lebih ‘advance’,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya tidak ambil mudah dalam soal menjaga maruah dan memberi keselesaan kepada kaum wanita.

“Biarlah apa orang nak kata kalau kita betul-betul nak jaga diri dan agama. Yang penting kalau tidur luar, jangan datang cuma waktu makan ya, datang bersilaturahim, bersembang, menolong dan sebagainya apa yang patut.

“Waktu nak tidur, boleh ke singgahan kita di luar. Cuma kalau buat macam tu, jelaskan kepada emak ayah dan keluarga mengenai justifikasi prinsip kenapa kita buat macam tu supaya mereka faham dan tidak berlaku salah faham.

“Kalau komunikasi okay, tak ada masalah sebenarnya. Bersilaturahimlah dengan sebaiknya selagi selari dengan syariat,” nasihat beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI