fbpx

Anak sulung mangsa bunuh tolak belajar demi adik-adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD DANIAL (kiri) nekad ingin mencari kerja demi membantu nenek membesarkan lima adiknya di Melaka

MELAKA – Anak sulung wanita yang dibunuh suaminya dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Terengganu pada 5 April lalu menolak untuk menyambung pengajian demi membantu nenek dan datuknya membesarkan lima adiknya di sini.

Mohamad Daniel Mohd Radzi, 18, berkata, dia dan empat adiknya yang lain akan berpindah ke Melaka untuk menetap bersama datuk, Aziz Mustafa, 68 dan nenek, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, di Tangga Batu dalam masa terdekat.

Katanya, dia tidak berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti, sebaliknya ingin segera mendapatkan pekerjaan tetap bagi membantu menyara keperluan adik-adiknya yang berusia antara 15 sehingga lima tahun.

“Meskipun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya bersyukur kerana ada datuk dan nenek, tetapi saya tak boleh mengharapkan mereka sahaja dan perlu bantu cari duit untuk besarkan adik-adik.

“Sekarang ini kami masih menguruskan urusan pertukaran sekolah dua adik di Terengganu, selepas itu barulah pindah ke sini (Melaka) dan saya mahu cari kerja cepat-cepat, tidak kisahlah kerja apa,” katanya ketika ditemui di Taman Tangga Batu Perdana, di sini.

Turut hadir menyantuni keluarga itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi.

Ujarnya lagi, dia juga berasa lebih lega dapat berkumpul dengan dua adiknya yang sebelum ini dijaga oleh datuk dan neneknya di sini.

“Sebelum ini saya hanya membuat panggilan video sahaja untuk berbual dengan dua adik berusia 9 dan 7 tahun tetapi selepas ini kami akan duduk sekali, saya pun lebih lega mereka berada di depan mata,” katanya.

Sementara itu, neneknya memberitahu, mereka sekeluarga kini meraih pendapatan dengan menjual nasi dagang di Ayer Keroh.

“InsyaAllah mak cik akan jaga cucu-cucu ini selagi ada nyawa, selagi diberikan kesihatan yang baik dan setakat ini kami mencari rezeki dengan menjual nasi dagang. Sudah hampir lima tahun mak cik berniaga di sini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI