PETALING JAYA – Anak sulung sememangnya menjadi harta paling berharga bagi mana-mana yang bergelar ibu bapa kerana permata hati itulah yang banyak memberi pengajaran serta pengalaman pertama cukup bermakna dalam hidup ketika mula-mula menempuh fasa berumah tangga.
Perkara tersebut diakui aktres Rita Rudaini yang berkata, anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin menjadi saksi segala suka duka dan kesedihan-kesedihan yang dilaluinya sejak bergelar ibu tunggal sekitar 10 tahun lalu.
Luahan tersebut dikongsikan Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 47, ketika mengimbau momen menghantar anak sulungnya itu memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan pada tahun lalu.
“Dah setahun Ryan belajar hidup berdikari jauh dari mommy (panggilannya). Ryan tak lupa telefon ucap selamat malam dan cintakan mommy. Masa ini (setahun lalu), mommy tahan air mata dan sakit. Sakitnya tak sesakit dikhianati dan ditinggalkan dulu.
“Kita tak pernah berenggang. Ke mana saja mommy bawa Ryan. Ryan anak yang banyak suka duka, banyak saksi kesedihan-kesedihan mommy. Ryan yang banyak kena tempias. Ryan saksi segala-galanya,” tulisnya sebak sambil memuat naik video ketika menghantar Ryan ke MRSM tersebut pada tahun lalu.
Terluka mengenang putera sulungnya itu membesar dalam serba kekurangan terutama tanpa kasih seorang ayah, Rita bagaimanapun sangat bersyukur kerana Ryan tumbuh menjadi anak yang penuh kelembutan dan kasih sayang dalam hati.
“Ryan anak yang sangat baik, tidak pernah sesekali tinggikan suara pada mommy. Patuh setiap kata-kata mommy. Maafkan mommy, mommy banyak salah pada Ryan.
“Tapi percayalah, mommy buat semua ini ada sebab. Hanya Tuhan yang tahu. Mommy doakan Ryan jadi seorang lelaki yang penuh belas kasihan, kelembutan dan kasih sayang dalam diri,” titipnya.
Tambah pelakon filem Mami Jarum itu lagi, biarpun sakit menanggung rindu, namun dia rela berkorban berjauhan dengan anak terunanya itu kerana percaya ada yang terbaik menanti Ryan pada masa depan.
Malah kata Rita, dia sudah terbiasa berkorban termasuklah untuk kebahagiaan dan memuaskan hati orang lain demi mempertahankan anak-anaknya suatu ketika dahulu.
“Jangan risau pasal mommy. Mommy dah biasa berkorban. Allah kurniakan anak yang baik, Ryan dan adik untuk jahit luka dan koyak di hati mommy. Terima kasih,” katanya lagi.
Ryan bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan sejak tahun lalu dan dia menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran apabila baru-baru ini memperoleh Anugerah Pengetua.
Seputar info, Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, 11. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada September 2013. – KOSMO! ONLINE