fbpx

Aidilfitri tetap meriah beli pakaian terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengunjung memilih pakaian terpakai untuk persiapan raya di Bazar Dataran Khairunnisa, Kuala Terengganu kelmarin. – KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Trend membeli pakaian terpakai untuk digayakan pada Aidilfitri semakin meningkat dalam kala­ngan penduduk Terengganu pada tahun ini.

Kebanyakan mereka me­ngunjungi bazar pakaian terpakai di sekitar bandar raya ini demi untuk berjimat dalam membuat persiapan raya ekoran ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Salah seorang pengguna, Nor Azura Mohd. Sani, 37, berkata, dia membeli dua pasang kasut terpakai buat anak perempuannya yang masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun.

“Walaupun terpakai, dua pasang kasut itu berjenama terkenal dan masih elok untuk dipakai.

“Harganya pula murah cuma RM70 sedangkan jika saya membeli yang baharu, ia mungkin mencecah RM200 sepasang,” katanya ketika dtemui Kosmo! di Bazar Dataran Khairunnisa, di sini kelmarin.

Nor Azura berkata, dia turut membeli dua helai baju kemeja terpakai buat suaminya selain tiga seluar palazo untuk dirinya.

Sementara itu, seorang pengunjung lain, Muhammad Zailani Abu Bakar, 23, berkata, dia turut membeli baju raya tahun ini di bazar pakaian terpakai terbabit.

Pemandu e-hailing itu memberitahu, dia juga membelikan pakaian terpakai untuk tiga adik lelakinya yang masih bersekolah untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri yang dijangka hujung minggu ini.

“Saya membeli baju T, jersi dan seluar jeans terpakai. Harga jauh lebih murah berbanding yang baharu di pasar raya.

“Kita kena buang persepsi negatif terhadap pakaian terpakai kerana ia juga berkualiti tinggi jika pandai memilihnya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kasut terpakai, Aiman Wafi Zulkepli, 26, mengakui jualannya meningkat mendadak sepanjang bulan Ramadan ini.

“Pakaian, kasut dan beg ta­ngan terpakai ini berkualiti baik dan alternatif kepada pengguna untuk berjimat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI