KANGAR – Peniaga di tapak jualan Festival Mega Raya Aidilfitri di Kangar Jaya di sini sekali lagi diuji kejadian ribut petir kira-kira pukul 3 petang tadi mengakibatkan beberapa khemah dan barangan jualan rosak teruk.
Menurut seorang peniaga, Muhammad Faisal Abdul Rashid, 44, anggaran awal kerugian dialaminya akibat ribut itu antara RM2,000 hingga RM3,000.
“Kejadian ribut petang tadi merosakkan sekurang-kurangnya tiga kanopi besar dan beberapa khemah kecil lain. Sebahagian barangan jualan berupa pakaian raya dan kelengkapan perniagaan seperti rak pakaian juga rosak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, kejadian kali ini ini lebih lama dari yang berlaku awal Ramadan lalu, namun kebanyakan kanopi telah dipancang dan mampu bertahan.
Difahamkan, peralatan penataan bunyi dan skrin LED milik penganjur juga mengalami kerosakan dan jumlah sebenar kerugian masih lagi dalam penilaian.
Sementara itu, seorang lagi peniaga aksesori raya, Hairizuan Sarijan, 37, berkata, ketika kejadian, dia datang awal untuk memeriksa gerai jualannya.
“Ketika kejadian hujan lebat berserta angin kencang, petir dan guruh kuat berdentum menyebabkan suasana jadi kelam-kabut. Saya masih trauma akibat kejadian pertama menyebabkan saya mengambil tindakan menyelamatkan diri,” jelasnya.
Kosmo! difahamkan ribut sama turut merosakkan sebuah sekolah yang yang terletak di kawasan Utan Aji di sini, namun sehingga pukul 8 malam, masih belum ada laporan kejadian tersebut melibatkan kemalangan jiwa. – KOSMO! ONLINE