GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menawarkan rebat tarif air sebanyak 30 peratus selama tempoh enam bulan kepada semua sekolah berdaftar di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tawaran tersebut membabitkan sekolah-sekolah kerajaan, swasta, antarabangsa, kolej, sekolah agama dan tadika.
Menurut beliau, rebat untuk bil air sekolah bagi ‘penggunaan bukan domestik’ itu akan berlangsung selama enam bulan dengan tempoh sah permohonan tersebut antara April sehingga September tahun ini.
“Pentadbir-pentadbir sekolah mesti memohon rebat daripada PBAPP sebelum 30 September.
“Permohonan telah dibuka mulai hari ini dan borang permohonan boleh dimuat turun secara dalam talian dari laman web PBAPP (https://pba.com.my/penang-water-tariffs/),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Kon Yeow, keputusan penawaran rebat itu dibuat sebagai tanda muhibah dalam usaha mengekalkan hubungan baik dengan 1,712 sekolah di negeri ini yang menyediakan pendidikan rendah dan menengah kepada beribu-ribu anak muda Pulau Pinang setiap hari.
Jelasnya, ‘Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Pulau Pinang) (Pindaan) 2022’ telah diwartakan pada 29 Julai tahun lalu dan Peraturan Persekutuan ini menyemak tarif untuk ‘penggunaan air bukan domestik’.
“Dengan mengambil kira maklum balas pihak berkuasa sekolah, PBAPP bersetuju untuk menanggung kos rebat enam bulan untuk sekolah-sekolah sebagai satu lagi aspek komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Pulau Pinang dan unjuran jumlah kos rebat ini adalah RM2.1 juta,” ujar beliau.
Tambahnya, PBAPP juga mengekalkan purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama sebulan pada RM0.32 setiap 1,000 liter pada tahun ini yang merupakan tarif air domestik terendah di Malaysia. – KOSMO! ONLINE