KUALA LUMPUR – Selebriti media sosial Kasih Iris Leona langsung tidak tertarik dengan lelaki ‘mat saleh’ untuk dijadikan kekasih walaupun dianggap lebih cenderung memilih teman lelaki dalam kalangan jejaka Inggeris.
Leona, 24, berkata, walaupun dia dilihat netizen lebih mengamalkan gaya hidup ala kebaratan, namun hatinya lebih tertarik untuk mencari teman lelaki dalam kalangan lelaki Asia terutamanya, Melayu.
“Orang mungkin anggap saya lebih tertarik dengan lelaki berkulit putih (mat saleh). Tetapi saya tidak minat langsung.
“Saya hanya akan bercinta dengan lelaki Asia terutamanya dari Malaysia termasuk jejaka Melayu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu lagi, dia hanya boleh berkawan dengan lelaki mat saleh, namun untuk bercinta, hatinya lebih tertarik dengan lelaki dari Asia untuk dijadikan kekasih.
“Ada banyak sebab. Antaranya lelaki Asia lebih berbudi bahawa, bersopan santun dan baik. Untuk mencari teman lelaki, saya tidak memandang rupa mereka.
“Asalkan mereka baik dan tahu melayan saya sepatutnya, itu sudah memadai,” kata Leona ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya, Marilah Pulang bersama Vida Malaysia di SkyArk, di sini, baru-baru ini.
Ketika disoal sama ada dirinya sudah menemui pengganti selepas lapan bulan putus cinta, Leona berkata sehingga kini statusnya masih lagi solo kerana ibunya tidak membenarnkan dia bercinta buat masa sekarang.
“Saya belum ada pengganti lagi sebab ibu saya tidak bagi saya jalinkan hubungan cinta buat masa sekarang. Tapi kalau siapa-siapa berminat, apa salahnya,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, Leona yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan di University of Bath, England akan berada di Malaysia selama sekitar dua minggu untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga.
Terdahulu, pada November tahu lalu Leona pernah meluahkan rasa sedih selepas mengetahui bekas teman lelakinya, Ryan sudah pun mempunyai kekasih baharu.
Lebih mengecewakan Leona atau nama sebenarnya Kasih Iris Leona Hairi Azhar, tempatnya digantikan dengan wanita lain dalam masa tiga bulan selepas mereka berpisah.
“Dia (bekas kekasih) dah jumpa perempuan lain. Rasa teruk apabila saya diganti hanya begitu sahaja,” ciapnya menerusi Twitter. – KOSMO! ONLINE