PETALING JAYA – Keberkatan dalam bulan puasa ini perlu dimanfaat sepenuhnya kepada mereka yang terjebak dengan aktiviti tidak sihat termasuklah meninggalkan tabiat meminum ketum.
Ini kerana kata Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad, puasa adalah masa sesuai untuk mereka memperbetulkan semula pemikiran dan meninggalkan tabiat itu secara perlahan-lahan.
Jelas beliau, sepanjang tempoh mereka berpuasa siang hari itu adalah masa terbaik untuk penagih ketum mengubah tanggapan bahawa ketum telah banyak ‘membantu’ mereka untuk bekerja sebelum ini.
“Dari sudut kognitif, ramai peminum ketum menganggap bahan tersebut telah memberi ‘tenaga’ kepada mereka. Apabila kognitif mereka percaya, tingkah laku mereka akan terikut sekali.
“Tetapi jika mereka mampu merubah tanggapan dan rutin mengambil bahan tersebut semasa bulan puasa dengan sendirinya peminum ketum ini dapat mengurangkan ketagihan dan sekali gus dapat berhenti,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Tambah Fauziah, secara amnya, ketagihan terhadap ketum atau sebarang dadah mengambil masa untuk pulih, tetapi dengan keberkatan puasa ini para ‘penagih’ boleh cuba melawan perasaan untuk mengambil bahan itu.
“Biasanya minggu pertama mereka akan ‘layu’ apabila tidak dapat merasai bahan itu kerana tempoh tersebut badan ‘beradaptasi’ dengan rutin baharu (berpuasa).
“Tetapi jika badan mereka berjaya melawan tabiat sebelum ini, saya yakin mereka akan dapat mengurangkan ketagihan tersebut dalam minggu seterusnya sehingga dapat membuang terus tabiat tersebut,” ujarnya.