KHARTOUM, SUDAN – Pertempuran berterusan antara tentera biasa dan pasukan separa tentera di Sudan, menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang maut setakat ini dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, kata kesatuan doktor awal hari ini.
“Angka awal bagi bilangan korban insiden Sabtu (semalam) adalah 27 orang meninggal dunia termasuk di bandar ibu negara, Khartoum,” kata kesatuan doktor dalam satu kenyataan.
Ia turut menyatakan bahawa kira-kira 170 orang cedera dalam pertempuran yang tercetus semalam dan berterusan sehingga awal hari ini.
Keganasan di bandar ibu negara itu berlarutan hingga ke malam semalam selepas pertempuran seharian antara pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan.
Ia pada awalnya telah mengorbankan tiga orang, sekali gus mencetuskan amaran di peringkat antarabangsa.
RSF semalam mendakwa ia telah menawan Istana Presiden dan lapangan terbang antarabangsa dalam cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah pertempuran sengit di Khartoum, lapor agensi berita United Press International.
Menurut pasukan tersebut, langkah itu adalah sebagai tindak balas kepada ‘serangan tanpa provokasi’ yang dilakukan ke atas markasnya di Khartoum oleh tentera Sudan.
Tentera Udara Sudan dalam pada itu mendesak orang ramai agar kekal berada di dalam bangunan ketika meneruskan serangan udara ke atas beberapa pangkalan RSF.
Keganasan itu tercetus selepas beberapa minggu ketegangan meningkat antara ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya yang merupakan komander separa tentera, Mohamed Hamdan Daglo berhubung rancangan untuk mengintegrasikan RSF ke dalam tentera biasa.
Integrasi itu adalah elemen utama dalam perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian yang akan mengembalikan Sudan kepada undang-undang awam serta menamatkan krisis politik dan ekonomi yang dicetuskan oleh kudeta pada tahun 2021. – AFP