fbpx

Pelajar B40 di IPTA Sabah nikmati Menu Siswa Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Yusof (tengah) memberikan hidangan Menu Siswa Rahmah kepada pelajar sewaktu tinjauan di UiTM Kampus Kota Kinabalu.

PETALING JAYA – Kira-kira 20,000 pelajar daripada golongan B40 di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) seluruh Sabah menerima manfaat daripada pengenalan Menu Siswa Rahmah (MSR) pada harga berpatutan RM3.50.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, pelajar tersebut terdiri daripada 3,779 pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan 161 daripada UiTM Tawau, 11,968 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 3,713 pelajar di Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Sandakan.

“Program MSR di IPTA Sabah ini melibatkan pemberian moratorium dan pengecualian bayaran sewa premis serta bayaran utiliti oleh pihak universiti dan politeknik kepada 22 pengusaha kafeteria, kiosk dan gerai, penyedia perkhidmatan makanan sedia ada dan baharu di dalam kampus.

“MSR adalah inisiatif KPT dalam membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa IPT, khususnya daripada golongan B40 bagi memastikan kelangsungan kebajikan mereka terus dijaga dan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas,” kata kenyataan itu, hari ini.

Penyediaan MSR ini juga mengambil kira keperluan nutrisi asas (karbohidrat, protein, serat) dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di IPT.

Malah, pelaksanaan MSR ini merupakan komitmen KPT untuk menyokong inisiatif Rahmah yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bertujuan membantu golongan terkesan dengan lonjakan kos sara hidup.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal turut meninjau pelaksanaan MSR di UiTM Kampus Kota Kinabalu semalam dengan melawat Dapur HEP yang menyediakan hidangan nasi percuma sebanyak dua kali sehari kepada pelajar bagi membolehkan mereka berjimat dengan hanya membeli lauk sahaja di kafeteria.

“Selain penjimatan kos sara hidup, pelaksanaan Dapur HEP ini telah membuka peluang kesukarelawanan dan menggalakkan amalan saling bantu membantu dalam kalangan pelajar berdasarkan konsep ‘Dari Pelajar untuk Pelajar’.

“Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 1,000 kilogram (kg) beras yang boleh menyediakan lebih 6,600 hidangan nasi daripada KPT sebagai tanda sokongan terhadap pengoperasian inisiatif Dapur HEP,” menurut kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI