PUTRAJAYA – Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Indonesia, TransNusa menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi antarabangsa yang pertama dilancarkannya.
Menurut hantaran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), operator itu malah terbang dua kali setiap hari ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
“Selamat datang TransNusa yang datang dari Jakarta dan menggunakan pesawat Airbus model A320 Neo. Jadi, jangan tunggu lagi, sila dapatkan tiket anda sekarang,” jelasnya.
Berdasarkan laporan oleh agensi berita rasmi Indonesia, Antara, pesawat itu terbang dari hab operasinya di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
TransNusa yang ditubuhkan pada 2005 kini mula menyambung operasinya sejak tahun lalu selepas menggantung penerbangan pada 2020 susulan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, syarikat itu hanya memberi tumpuan kepada Denpasar, Bali, Yogyakarta dan Jakarta berbanding sebelum 2020 yang meliputi banyak kota besar di Indonesia.
Bersempena dengan pengenalan laluan berkenaan, TransNusa menawarkan promosi harga khas 990,000rupiah (RM294) dari Jakarta ke KLIA serta hanya RM299 dari KLIA ke Jakarta.
Dengan kemasukan TransNusa kelmarin, KLIA kini menjadi pilihan destinasi 60 syarikat penerbangan pelbagai negara termasuk empat dari kalangan pemain tempatan sendiri. – KOSMO! ONLINE