PETALING JAYA – Sebuah kilang memproses kelapa hampir musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Taman Desa Country Home, Rawang, malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.30 malam.
Menurut beliau, seramai 28 anggota dan enam buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Selayang, BBP Rawang dan BBP Batu Arang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rizal Sahit di lokasi, terdapat sebuah kilang memproses kelapa kelas A bangunan setingkat terbakar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, kilang berkeluasan 6096 meter persegi itu terbakar 80 peratus dan api berjaya dikawal pada pukul 10.58 malam.
Ujarnya, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE