HULU TERENGGANU – Ikan seluang yang bersaiz kecil kerap dibela sebagai hiasan di akuarium di kebanyakan tempat, namun ia merupakan menu istimewa Ramadan bagi penduduk sekitar Kuala Ping di sini.
Masyarakat setempat gemar menikmati ikan yang memiliki banyak tulang itu secara panggang bersama nasi dan budu sebagai hidangan berbuka puasa.
Salah seorang peniaga bazar Ramadan, Siti Fauziah Abdul Kadir, 60, berkata, dia meneruskan tradisi menjual ikan seluang panggang setiap kali ketibaan bulan Ramadan sejak lebih 30 tahun lalu.
“Setiap cucuk ikan seluang panggang yang mempunyai 13 hingga 15 ekor mengikut saiz dijual pada harga RM5.
“Rasanya sangat manis dan enak dicicah budu. Tulang yang banyak itu mudah dihancurkan apabila dipenyet kerana ia sangat halus,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Ping di sini baru-baru ini.
Siti Fauziah berkata, bekalan ikan seluang diperoleh secara segar dari Sungai Telemong di sini. Nenek 13 cucu itu berkata, sambutan terhadap ikan seluang panggang amat laris dan biasanya 40 cucuk yang disediakan akan kehabisan sebelum pukul 6 petang.