ROM – Seekor beruang betina bernama JJ4 yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang lelaki telah diberikan penangguhan bagi hukuman tersebut, lapor laman berita Wion News semalam.
Beruang pembunuh itu sepatutnya dijejaki dan dibunuh tetapi keputusan tersebut dibatalkan selepas kumpulan hak asasi haiwan campur tangan.
Mangsa, Andrea Papi yang berusia 26 tahun telah diserang oleh beruang itu dan meninggal dunia ketika sedang berlari berhampiran kampungnya, Caldes, di wilayah Trentino, timur laut Itali.
Mayatnya ditemui dengan terdapat kesan luka pada leher, lengan dan dada manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya ditemui pada sebatang kayu di tempat kejadian. Ia dipercayai telah digunakan oleh Papi untuk mempertahankan dirinya tetapi tidak berjaya.
Bagaimanapun, selepas menyiasat tempat kejadian dan pakaian Papi, pihak keselamatan membuat kesimpulan bahawa terdapat tanda-tanda ia adalah perbuatan JJ4 yang berusia 17 tahun dan bedah siasat juga mengesahkan teori itu.
Gabenor Trento, Maurizio Fugatti kemudian menandatangani arahan untuk membunuh beruang itu namun Liga Anti Vivisection Itali (LAV) iaitu sebuah kumpulan hak haiwan membantah keputusan tersebut dan menggunakan mahkamah bagi membuat petisyen untuk mengenakan penangguhan.
Tribunal Trento akhirnya bersetuju supaya beruang itu diberikan penangguhan hukuman mati. – Agensi