PETALING JAYA – Hampir 9,400 warga Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertugas demi keselesaan rakyat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, ia melibatkan penugasan tenaga kerja di seluruh rantaian perkhidmatan termasuk di stesen janakuasa, pusat kawalan, rangkaian penghantaran dan pembahagian.
“Penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang, bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing- masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin berkata, pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal dengan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.
“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam menyempurnakan amanah dengan selamat demi keselesaan semua.
“Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum,” katanya.
Tambahnya, penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam (3 hari) bermula sehari sebelum satu Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri.
Selain itu, bagi menghargai sumbangan warga kerja terlibat, TNB mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda penghargaan melalui kerjasama dengan Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) dari cawangan sekitar Semenanjung Malaysia.
Menurut Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Indera Noor Aizah Abd Karim berkata, kerja-kerja pembungkusan Bingkisan Aidilfitri TNB 2023 itu bermula pada 3 Mac dan selesai pada 9 April 2023 serta akan dihantar ke pejabat TNB di seluruh Semenanjung.
“Bingkisan Aidilfitri TNB ini adalah tanda ingatan dan penghargaan TNB kepada pekerja- pekerja yang diberi tanggungjawab untuk bertugas pada hari raya pertama demi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan stabil untuk keselesaan rakyat bagi merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE