MANCHESTER – Selepas keputusan yang agak mengecewakan pada saingan Liga Europa setelah seri 2-2 menentang Sevilla, Manchester United berdepan isu kecederaan yang pastinya meresahkan para peminat ketika saingan menghampiri penghujung.
Pada aksi kelmarin, Rapahel Varane terpaksa dikeluarkan dan digantikan Harry Maguire selepas mengalami kesakitan akibat pelanggaran sebelum seorang lagi pemain pertahanan, Lisandro Martinez juga berdepan nasib yang sama,
Pengurus United, Erik Ten Hag mengakui bahawa pasukannya perlu mengubah fokus untuk berdepan Nottingham Forest pada aksi malam ini biarpun sedar pilihan pemainnya kini berkurangan ekoran masalah kecederaan berkenaan.
“Saya tidak fikirkan mengenai aksi pusingan kedua di Sepanyol nanti. Sudah pasti perlawanan berikutnya, menentang Forest yang menjadi tumpuan saya ketika ini.
“Saya sudah mempunyai idea mengenai cara yang kami akan gunakan pada perlawanan itu nanti. Namun, sudah tentu saya perlu melihat laporan perubatan terlebih dahulu serta pemain yang akan turun pada sesi latihan.
“Kami masih kekal bersaing dalam tiga kejohanan dan sudah tentu anda perlukan pasukan yang besar. Jika Martinez dan Varane terpaksa digugurkan, saya pasti ada pemain yang layak mengisi kekosongan,” jelasnya.
Mengulas mengenai peluang penggempurnya, Marcus Rashford untuk turun beraksi pada perlawanan itu nanti, Ten Hag mengakui beliau juga menjangkakan pemain itu akan kembali lebih awal.
“Peluang masih ada, tetapi saya tidak boleh sahkan setakat ini,” ujarnya. – AGENSI