LONDON – Arsenal mensia-siakan kelebihan dua gol apabila terikat 2-2 dengan West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London sebentar tadi.
The Gunners juga sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak membawa pulang tiga mata penuh selepas pemain sayap sensasi pasukan itu, Bukayo Saka gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak kedua.
Walaupun masih kekal menerajui carta EPL tetapi keputusan itu dilihat tidak memihak kepada Arsenal apabila cuma berkelebihan empat mata ke atas pasukan di tempat kedua, Manchester City.
Apa tidaknya, skuad juara bertahan itu masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan bakal menanti kunjungan Arsenal di Stadium Etihad penghujung bulan ini.
Ini juga kali kedua berturut-turut Arsenal mensia-siakan kelebihan dua gol apabila diikat Liverpool 2-2 minggu lalu.
Dalam aksi sebentar tadi, Arsenal bermula garang pada awal 10 minit pertama apabila mendahului West Ham 2-0 hasil jaringan Gabriel Jesus dan Martin Odegaard pada minit ketujuh serta 10.
Bagaimanapun, kelebihan tersebut gagal dimanfaatkan sebaiknya apabila skuad bimbingan Mikel Arteta itu membenarkan The Hammers merapatkan jurang 2-1 menerusi sepakan penalti Said Benrahma pada minit ke-33.
Arsenal berpeluang menjarakkan kedudukan tetapi sepakan penalti Saka pada minit ke-52 tersasar jauh sebelum West Ham melakukan serangan balas pantas untuk mengikat kedudukan 2-2 melalui Jarrod Bowen dua minit kemudian.
Arteta terdesak untuk memastikan kemenangan dan membuat percaturan berani mati dengan membawa masuk kesemua pemain serangan di bangku simpanan seperti Leandro Trossard, Jorginho, Reiss Nelson, Fabio Viera dan Eddie Nketiah.
Malangnya, ia masih gagal menembusi benteng pertahanan anak-anak buah David Moyes itu yang bermain mati-matian untuk memastikan satu mata diraih ke atas Arsenal.
Bagi West Ham, keputusan itu amat penting buat mereka untuk mengelak daripada terjatuh ke kelompok penyingkiran dalam baki lapan perlawanan EPL musim ini. – KOSMO! ONLINE