fbpx

Bakar kedai kerana cinta ditolak isteri orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kedai di Jalan Besar Langkap, Teluk Intan, semalam.-IHSAN PDRM

TELUK INTAN – Berang selepas cintanya ditolak, seorang lelaki bertindak nekad menyimbah petrol dan membakar kedai di mana wanita itu bekerja di Jalan Besar Langkap, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 54 tahun itu sebelum ini dikatakan sering datang ke kedai untuk memikat wanita terbabit.

Namun katanya, hasrat lelaki itu ditolak secara baik ekoran wanita itu telah pun berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

“Sebelum kejadian kebakaran itu, kita ada menerima laporan daripada mangsa berkaitan seorang lelaki datang ke kedai dan mengamuk sekitar pukul 2.30 petang.

“Menurut wanita berusia 46 tahun itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata lucah dan mencederakannya selain mengugut untuk membakarnya dan tempat dia bekerja,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebakaran kedai yang juga milik adik wanita itu berlaku ketika mangsa berada di Balai Polis Langkap untuk membuat laporan.

Katanya, menurut saksi di tempat kejadian, mereka melihat suspek datang menyimbah petrol sebelum membakar kedai tersebut.

“Tindakan pantas pihak polis telah berjaya menahan suspek. Semasa tangkapan dijalankan, suspek mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

“Ketika tangkapan dibuat, suspek juga dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Suspek telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI