PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila terpaksa membayar bil sebanyak RM4,700 selepas menghantar keretanya yang dikatakan mengalami kerosakan brek di sebuah bengkel.
Fatin Farah dalam satu perkongsian di Facebook miliknya bertanya kepada kepada orang ramai jika jumlah tersebut benar dan berkongsi gambar bil kos membaiki keretanya.
“Saya ada hantar kereta dekat bengkel, tujuan saya hantar tu sebab brek tak makan saja. Lepas tu dia buka kata macam-macam rosak. Jumlah semua dalam RM4,700,” katanya di ruangan kapsyen.
Tambahnya lagi, dia bimbang ditipu oleh bengkel terbabit kerana dia tidak mengetahui mengenai kenderaan.
“Maklumlah perempuankan yang hantar kereta dekat bengkel. Orang perempuan kan tak tahu sangat perkara ini,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan harga yang perlu dibayar Fatin.
“Memang kena sembelih betul-betul dah sis ni,” kata Raise AR.
“Tak berkat pomen tu, redha saja. Memang penyangak betul,” ujar Ibrahim Jawang.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen yang setuju dengan harga tersebut.
“Minta maaf ya dik, awak cerita betul-betul. Gaya resit ni kereta tu dah macam kena banjir atau dah lama tak pakai,” kata Irwin Ishak. – KOSMO! ONLINE