MADRID, Sepanyol – Seorang pendaki gunung keluar dari sebuah gua yang terletak 70 meter di bawah tanah selepas mengasingkan diri selama 500 hari dari dunia luar, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Beatriz Flamini, 50, meninggalkan gua di selatan Sepanyol itu pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) semalam selepas menyelesaikan misi yang ingin dicapainya pada 21 November 2021.
Media Sepanyol berkata, wanita itu telah mencipta rekod dunia baharu, tetapi dakwaan itu tidak dapat disahkan.
Agensi berita Sepanyol, Efe melaporkan bahawa Flamini menghentikan sementara cabaran itu selepas kira-kira 300 hari dan meninggalkan gua selama lapan hari kerana masalah teknikal.
Flamini tinggal selama lapan hari di dalam khemah tetapi tidak berhubung dengan sesiapa sebelum turun semula setelah masalah itu selesai.
Memandangkan terdapat 509 hari antara hari pertama projek itu dan 14 April lalu, Flamini didakwa menghabiskan sekurang-kurangnya 500 hari di bawah tanah dengan gangguan selama lapan hari.
Flamini menyifatkan pengalaman mengasingkan diri dari dunia luar itu sebagai ‘cemerlang, dan tiada tandingan’ sebelum meminta diri kerana tidak mandi selama lebih 16 bulan.
Pada 1987, Maurizio Montalbini dari Itali mencipta rekod dunia dengan menghabiskan 210 hari di dalam sebuah gua, manakala seorang warga Serbia menghabiskan lebih 460 hari di bawah tanah pada 2016.
Misi Flamini adalah sebahagian daripada projek dipanggil Timecave yang direka untuk mengkaji bagaimana seseorang akan bertahan sendirian di bawah tanah untuk sekian lama. – Agensi