KOTA BHARU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menangkap seekor ular tedung sepanjang satu meter di dalam almari pakaian di sebuah rumah Kampung Pintu Geng di sini semalam.
Reptilia seberat tiga kilogram itu dijumpai oleh salah seorang penghuni rumah tersebut yang berusia 23 tahun kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Operasi Pusat Kawalan Operasi APM Kota Bharu, Siti Nur Zakiah Abdul Halim berkata, penghuni rumah itu masuk ke dalam sebuah bilik untuk mengambil barangan di dalam almari.
Menurutnya, dia kemudiannya terkejut melihat kelibat ular berkenaan sebelum bergegas keluar dan menghubungi talian kecemasan.
“Anggota APM yang tiba di rumah berkenaan terus bertindak menyelongkar pakaian di dalam almari sebelum menemui ular itu.
“Kita mengambil masa selama kira-kira 20 minit untuk menangkap reptilia tersebut menggunakan alat khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE