PETALING JAYA – Watak animasi Astro Boy yang popular sekitar 1950-an dan menjadi ikutan ketika itu kembali mendapat perhatian ramai tahun ini apabila gaya kasut besar watak tersebut menjadi pilihan bagi penggemar fesyen ketika ini.
Kasut besar berwarna merah yang dipakai watak animasi tersebut kembali diperkenalkan sekitar Februari lalu oleh sebuah syarikat pengeluar kasut dalam talian terkenal, MSCHF.
Di Malaysia, kasut tersebut menjadi tular apabila anak lelaki kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida yang dikenali Kacak mengenakan kasut tersebut bersama baju Melayu.
Difahamkan harga sepasang kasut merah besar tersebut boleh mencecah harga RM1,600.
Rata-rata pengguna media sosial turut meninggalkan komen mereka dan beranggapan kasut besar tersebut tidak sesuai untuk digayakan bersama baju Melayu menjelang hari raya nanti.
“Trend tu memanglah trend, tapi bagi aku terlampu pelik bila dikenakan dengan pakain raya. Macam orang lepas kemalangan berbalut simen pula aku tengok,” jelas Irfan Nor.
“Biar orang luar sajalah yang pakai, nampak macam berat saja nak berjalan. Ini kalau banjir ni boleh terapung sekali ni,” kata Saifullah. – KOSMO! ONLINE