PUTRAJAYA – Pembayaran sumbangan khas RM600 secara ‘one-off’ kepada imam, bilal, siak, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir akan disalurkan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya Isnin ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama antara Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai jasa bakti murabbi ummah yang mendidik masyarakat selama ini.
“Kami berharap penyaluran sumbangan khas ini dapat memberikan keceriaan dalam suasana membuat persiapan sambutan Aidilfitri.
“Penyaluran pembayaran sumbangan khas ini akan disalurkan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya pada hari Isnin, 17 April 2023,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.- KOSMO! ONLINE