SUNGAI PETANI – Hidangan udang galah goreng kunyit dengan taburan bawang goreng dan halia menjadi pilihan juadah berbuka puasa di restoran Rafflesia Asian Delight di Jalan Pengkalan di sini.
Chef restoran itu, Ahmad Fazree Zakaria berkata, sempena Ramadan ini, pihaknya menawarkan Set Talam Rafflesia yang terdiri daripada udang galah goreng kunyit serta lapan lagi menu masakan kampung.
Katanya, menu lain yang terdapat dalam set talam tersebut ialah sambal petai sotong, kerabu, gulai nangka, rendang daging minang, ulam-ulaman, sambal belacan dan ikan kering.
“Selain itu, kita juga sertakan sekali nasi putih, air sirap selasih, karipap pusing dan agar-agar lumut.
“Set talam ini berharga RM117 dan saiz hidangannya cukup untuk dua hingga empat orang makan,” katanya.
Menurutnya, hidangan udang galah yang menarik serta rasa isinya yang manis membuatkan juadah itu digemari ramai meskipun sekadar digoreng dengan garam dan kunyit sahaja.
“Bekalan udang galah ini didapati daripada beberapa pembekal tempatan di sekitar negeri ini.
“Kami menggunakan kira-kira 80 kilogram udang galah seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang bulan Ramadan ini,” jelasnya.