SEGAMAT – Bapa kepada salah seorang kanak-kanak lemas tidak menyangka dia sendiri yang mengeluarkan jenazah anaknya dari dasar sungai di Sungai Pulau Jering, di Kampung Bukit Tunggal, di sini, petang semalam.
Menurut Hermee Latim, 47, bapa kepada Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12, dia masih lagi merasakan kejadian tersebut seperti mimpi kerana ia berlaku begitu pantas.
“Kebetulan ketika kejadian saya melalui lokasi di Sungai Pulau Jering kira-kira pukul 5 petang semalam sebelum anak kedua menjerit beritahu Ahmad Muhammad tenggelam dalam sungai.
“Saya terus terjun ke dalam sungai, namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku, ” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tunggal di sini, hari ini.
Hermee berkata, dia mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anaknya dan anak jirannya itu apabila mereka tidak kelihatan dipermukaan sungai.
Dia menambah, sebaik berjaya dikeluarkan dari dasar sungai, kedua-duanya mendapati dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya terduduk dan hampir pitam. Saya tidak sangka sama sekali, saya sendiri ditakdirkan mengeluarkan jenazah anak dan anak jiran dari dasar sungai itu.
“Di sebalik ujian berat ini, saya merasakan ada hikmah tersirat di sebalik anak dan anak jiran saya kembali pada pencipta di hari Jumaat di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Kedua-dua mangsa masing-masing merupakan anak sulung itu dikebumikan dalam satu liang lahad Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tunggal di sini selepas solat Zohor.
Ahmad Muhammad merupakan anak sulung daripada empat beradik manakala Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13 merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marindah yang turut hadir di lokasi, mengesahkan kejadian.
Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Tidak terdapat sebarang unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE