BANGI – Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Gagasan Generasi Profesional (GGP) dengan kerjasama Surau Al Muhajirin Bukit Mahkota, Bangi hari ini menganjurkan Program Semarak Kasih Ramadan bagi menyantuni 72 orang asnaf dan 30 anak yatim serta penduduk setempat.
Program tersebut diadakan bertujuan meraikan golongan asnaf dan anak-anak yatim bagi memastikan mereka tidak merasa terpinggir khususnya di bulan Ramadan ini.
Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Datuk Mazlan Mohamad berkata, golongan asnaf dan anak-anak yatim tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan persiapan menjelang Aidilfitri.
“Penganjuran program ini adalah bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan sasar.
“Program ini boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu golongan ini. Diharap ia akan menjadi program yang berpanjangan dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Tambahnya, pihaknya juga menyokong usaha membanteras budaya rasuah dan salah guna kuasa sepertimana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjamin kestabilan negara.
“Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha Perdana Menteri dan menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memerangi rasuah dengan melaporkannya kepada SPRM jika ada berlaku perbuatan rasuah ataupun menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.
Sementara itu, GGP yang ditubuhkan pada Februari 2018 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengumpulkan generasi muda daripada golongan profesional di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Dr. Nasir Saari berkata, GGP memberi fokus dalam mengutarakan idea, cadangan dan resolusi terhadap pelbagai isu dan dasar kerajaan khususnya yang melibatkan generasi muda profesional; menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dan agensi kerajaan.
“Pertubuhan ini juga bermatlamat untuk memupuk semangat kerjasama dan bantu membantu dalam kalangan ahli dengan golongan muda bagi melahirkan generasi yang berhemah tinggi selain mengadakan aktiviti yang dapat mengeratkan perpaduan, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi membina dan memajukan negara.
“Selain itu, GGP juga mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, sukan, kerohanian, ekonomi, pendidikan, kenegaraan dan lain-lain serta memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE