KUALA LUMPUR – Dua wakil Liga Super, Kuala Lumpur City (KL City) dan Kelantan FC tidak mempunyai masalah menempah tiket ke pentas suku akhir selepas melepasi halangan kelab Liga M3 pada pusingan awal Piala FA sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak menpati ramalan apabila menewaskan kelab Liga M3, Imigresen FC dengan kemenangan 2-0.
Pasukan KL City meraih gol hasil jaringan yang dilakukan oleh T. Saravanan pada masa kecederaan babak pertama sebelum penyerang import, Romel Morales mengesahkan kemaraan hasil jaringan kedua pada penghujung perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan KL City akan menentang pasukan Sabah FC atau Kelantan United dengan kedua-dua pasukan akan bertemu pada Sabtu ini.
Sementara itu, aksi di Stadium MP Manjung, Perak, pasukan Kelantan FC berjaya menutup mulut pengkritik apabila melakar kemenangan 3-0 ke atas Manjung City untuk lolos ke peringkat lapan terbaik.
Pasukan The Red Warriors meraih keputusan positif hasil ledakan yang dilakukan oleh Mario Arques pada babak pertama dan dua gol sumbangan Nuha Marong pada separuh masa kedua.
Kelantan FC yang kini dikendalikan oleh Frank Bernhardt bakal bertemu seteru tradisi, Terengganu FC di pusingan suku akhir Piala FA nanti. – KOSMO! ONLINE