TUMPAT – Majlis Amanah Rakyat (Mara) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM56,000 bagi membina dua buah pam untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Kampung Tujoh di sini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu diluluskan bagi menangani masalah bekalan air yang berlaku sejak 11 tahun lalu sekali gus mengganggu urusan harian pelajar.
“Masalah air menjadi isu utama di MRSM Tumpat dan kita turut menerima banyak aduan berkait dengan Air Kelantan Sdn. Bhd. di situ.
“Dalam usaha untuk menangani masalah ini, dua pam air baharu perlu dibina untuk kegunaan 840 pelajar dan 160 kakitangan di MRSM Tumpat,” katanya ditemui pemberita selepas program Sesi Libat Urus Pengerusi Mara Bersama Warga Kerja MRSM Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memberitahu, selain MRSM Tumpat, masalah yang sama turut berlaku di MRSM Pasir Tumboh, Kota Bharu.- KOSMO! ONLINE