IPOH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi pencipta inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk hasil ciptaan dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, banyak idea dan inovasi yang dihasilkan oleh pelajar sekolah berpotensi untuk dipatenkan melalui pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Penghasilan pelbagai inovasi ini selaras dengan usaha kerajaan dalam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi bukan sekadar negara pengeluar teknologi pengguna, menjelang tahun 2030.
“Ada beberapa peringkat dimulai dengan peringkat idea dan apabila matang sikit, ada prototaip dan sekiranya ada idea yang boleh dikomersialkan memang ada kemungkinan MOSTI akan membantu untuk daftar IP,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Insentif Galakan MOSTI kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Teja di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Menurutnya, ia merupakan antara usaha MOSTI untuk membudayakan sains selain memberi galakan kepada inovator-inovator yang mengambil program flagship yang dianjurkan kementerian.-KOSMO! ONLINE