PETALING JAYA – Selangor Youth Community (SAY) akan menganjurkan program Liga Usahawan Wanita bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah, asnaf dan ibu tunggal menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan, Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, program itu bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi wanita dari keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan wanita asnaf.
Jelasnya, program tersebut adalah berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran serta rangkaian strategik komuniti perniagaan.
“Antara kriteria pemilihan peserta ialah wanita dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,600, wanita asnaf dan ibu tunggal serta menjalankan perniagaan di negeri Selangor dan menetap di Selangor.
“Pada fasa pertama program itu, seramai 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan dan 20 orang peserta akan dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.
“Di akhir program, 10 orang peserta akan diberi peluang untuk membuat pembentangan perniagaan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam satu kenyataan.
Rodziah berkata, daripada 10 peserta itu, mereka bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor.
Program tersebut dijadualkan bermula pada Mei sehingga Jun 2023 dan terbuka kepada semua wanita B40, ibu tunggal dan wanita asnaf dari seluruh daerah di Selangor.-KOSMO! ONLINE