fbpx

Kerajaan belanja RM54 juta setahun tanggung makan minum PATI di depot Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution menghadiri Program Singgah Sahur di Depot Imigresen Semenyih kira-kira pukul 4 pagi tadi.

SEMENYIH – Kerajaan membelanjakan kira-kira RM54 juta setahun bagi menampung keperluan makanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di depot Imigresen di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 10,159 PATI sedang berada di 20 depot Imigresen ketika ini.

Menurut beliau, seramai 7,936 mereka merupakan PATI dewasa lelaki, 1,404 PATI dewasa perempuan, 473 kanak-kanak lelaki dan 446 kanak-kanak perempuan.

“Mereka (PATI) masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen dan kerana itu mereka berakhir di sini (depot Imigresen) sementara kita berhubung dengan kedutaan negara mereka.

“Tugas kedutaan mereka adalah menyediakan dokumen perjalanan. Kalau cepat selesai dokumen ini maka cepatlah penghantaran pulang. Sementara menunggu, komitmen kerajaan kita setiap seorang (PATI) kita biaya kalau bab makan saja RM450 sebulan.

“Lagi lama mereka berada di sini.. kalau ada masalah atau reaksi daripada kedutaan itu lambat, maka dari segi tanggungjawab kita terpaksa berbelanja lebih. Jumlah RM54 juta setahun merupakan satu angka yang besar,” katanya pada sidang media sempena Program Singgah Sahur di Depot Imigresen Semenyih di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, tidak salah untuk beliau mengesyorkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu PATI turut menggesa negara sumber supaya mempercepatkan dokumen perjalanan rakyat mereka.

“Tidak boleh tumpu hanya kepada tanggungjawab Imigresen dalam menguruskan pelarian secara manusiawi, tetapi harus melihat juga bahawa kelambatan beberapa negara sumber ini tidak membantu,” katanya.

Beliau memaklumkan, seramai 14,139 PATI telah dihantar pulang ke negara asal dari Januari hingga 12 April lalu dengan pengusiran tertinggi melibatkan 5,571 warga Indonesia, 3,285 warga Myanmar dan 2,203 warga Filipina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI