fbpx

Jalan Felda Triang 1 rosak sejak enam tahun lalu mula dibaiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERJA-kerja naik taraf Jalan Utama Felda Triang 1 di Bera giat dilakukan yang dijangka siap Mei depan.

BERA – Keresahan penduduk mengenai jalan masuk perkampungan Felda Triang 1 yang rosak teruk bakal berakhir apabila jalan sepanjang lima kilometer yang rosak dan berlubang itu mula dinaik taraf.

Ketua Komuniti Kampung Felda Triang 1, Mohd. Sayuti Zakaria berkata, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf itu telah dimulakan pada 10 April lalu dan dijangka siap Mei nanti.

“Kerja naik taraf telah bermula, sebenarnya kita telah mohon lama sejak Februari lalu, kita juga telah berpiket supaya jalan utama ke Felda Triang 1 ini segera dibaiki.

“Walaupun mengambil masa untuk naik taraf, namun sekurang-kurang pihak berwajib telah bertindak,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! me­laporkan penduduk Felda Triang 1 di sini mengadakan demons­trasi aman bagi meminta pihak berkaitan membaiki Jalan Utama Triang menghala ke Bandar 34 yang rosak teruk.

Jalan yang rosak teruk sejak enam tahun lalu itu bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan pengguna jalan raya malah menyebabkan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan penduduk yang lalu di jalan ber­kenaan.

Menurut Mohd. Sayuti, penduduk di situ sememangnya mengharapkan jalan utama itu dibaiki segera memandangkan ia bukan sahaja jalan utama ke perkampungan tanah rancangan itu malah menghubungkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ATM Bera dan Rejimen Ke-34 Artileri Diraja.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak Jabatan Kerja Raya telah memaklumkan berkaitan kaedah dalam membaik pulih jalan tersebut.

“Kaedah pertama, pihak kontraktor akan menambak batu ‘crusher run’ sebagai lapisan pertama, sebelum disimen bagi lapisan kedua dan premix tar.

“Kaedah ini lebih efisien walaupun kos yang dibelanjakan lebih tinggi berbanding kaedah lama iaitu mengorek jalan lama dan menambak tar,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Shaari Mohamad, 60 berkata, dengan bermulanya kerja-kerja naik taraf jalan itu sekurang-kurangnya memberi harapan kepada penduduk untuk menikmati jalan yang lebih selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI